in Islam, there is no words for "hand's up", there is no words "surrender", there are only two thing's; Win as a "MUJAHID" or Die as a "SYAHID"

:bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam:

Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina atau India tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai. ~TGNA~



Segala Catatan Adalah Pandangan Peribadi Penulis, Tidak Mewakili Pendirian/Pandangan Mana Mana Pihak : jari'menari abuAMMAR aka jeansLusuh



Dengan membaca atau melihat di Blog ini anda telah bersetuju dengan persaratan Blog ini, dengan itu tiada apa jua cara dan tindakan yang dapat dikenakan pada Blog ~ jeansLusuh ini



Thursday, February 25, 2010

Sajak Al-Amin : Hari Hari Terakhir Kekasih ALLAH

Karya Sasterawan Negara Pak A.Samad Said

NABI sedar gerak sekeliling, dibaca lebih dalam, dimengerti lebih akar. Dan kedada Usamah yang amat menunggu, diteliti wajah pahlawannya; di tengah khalayak menanti, suara Baginda tenang dan mesra, suara itu lebih kepada Usamah Diulangi waras pilihannya, pahlawan pengganti perkasa ayahnya, Usamah memang tepat, dan Baginda mengarah pasukannya bermula. Khalayak terdiam beberapa ketika, angin sahaja yang bersuara, unggas sesekali melintas di kepala, dan khalayak khusyuk masih menantinya, berkatalah Baginda tidak dipilih jika tidak ke pihak ALLAH.

Segelintir sahabat cepat mengerti, tangis dan pilu disembunyikan, dan Abu Bakar al-Siddiq, dalam gelora rasa yang dikawal, amat memahami mengapa begitu kata Baginda, mengapa antara dunia dan akhirat, Nabi memilih hanya ALLAH. Dan seperti dirasakan lebih awal, dipandangnya Abu Bakar yang keruh wajah, disimbahkannya cahaya yakin, dipinta agar sahabat yang diambilnya sebagai khalil sentiasa tabah dan cekal dirinya. Dirinya lemah dan uzur, dirinya saja dipinta menanggung, dan khalayak diberikan nasihat dan semangat, Madinah masih diancam, wajar dijaga.

Wajah Baginda sentiasa mengerti, tenang dan sabar pancaran utama, sebelum meninggalkan masjid, khalayaknya tetap menunggu, kepada mereka, kearah setiapnya. Nabi berpesan, Muhajirin paling diingatkan. Seperti berwasiat Baginda kepada mereka, seperti dipinta telinga yang jelas, dan kaum Muhajirin seperti diketahui hasrat Baginda, seperti ditunggu amanatnya. Dan dalam bahasa yang jelas, tulus dan rindu di dalamnya, diulangi pesanannya agar bersaudara mereka, Muhajirin dan Ansar, kerana Ansar terlalu besar jasanya pada Nabi.

Hari yang berlalu seperti pilu, malam yang berganti seperti sepi. Setiap khabar sekitar Baginda, bangun dan tidurnya, cakap dan senyapnya, terkhabar cepat ke tengah khalayak, ditimbang dan difikir dalam resah, ditafsir dan ditamsil pelbagai warna. Dan Nabi, dalam lemah dan resahnya, masih tetap berulang-alik ke masjid mengimami solat berjemaah, dan hinggalah pada satu ketika, Baginda sendiri terasa amat lemahnya, lalu, kepada Aisyah diperintah supaya Abu Bakar mengimami solat, dalam khusuk yang sama, Aisyah, entah mengapa, kurang selesa menerimanya.

Seperti terkejut Umar bin al-Khattab, dipandangnya Nabi dibaca wajah, pemimpin yang sakit cergas berfikir nasib ummah ditafsirkannya. Berkira dan beralas, diseluk ke dalam batin, ditenung mata Baginda, dan dengan yakin tapi ketar, Umar cuba mengingatkan: benar kita dalam gawat, benar ummah dalam kacau, tapi tidakkah telah diwariskan mereka dengan Al-Quran, tidakkah kitab yang demikian sempurna, tidakkah segala ayat di dalamnnya jawapan tiada masaalah, pimpinan pada setiap tindak. Lalu sesama sahabat, depan Nabi, berhujahlah mereka.

Berkisar dan berhujah, sihat suasana yang dicari, dewasa hati ummah. Dan sementara mereka kuyup dalam jernih bicara, Nabi, dalam usia enam puluh tiga, lemah yang segar, dengan mata tetap bercahaya, rambut putih sekelompok dua, mula mengulangi keyakinan dan mimpinya. Telah bermimpi Baginda akan syurga, telah dicapainya buah anggur. Khalayak yang amat menyayangi Baginda, mendengar khabar sedemikian, faham dalam sedihnya, kerana amat tahu, Baginda lebih ghairah berkata tidak lagi tentang dunia, segala-gala mula ke akhirat impiannya.

Masih khalayak di keliling katil, Aisyah paling hampir dipanggil, dan, dalam bisik, ditanyakan ke mana milik delapan dinarnya, dan dengan tegas, dipinta supaya disedekah. Malam menjadi lebih bertanya, awan yang ghaib dipercayai ada, langit masih penuh rahsia, dan unggas yang lena diyakin wujud. Malam lanjut dengan resah, nafas Nabi seperti teriring, dan khalayak ketar dan pilu, bauran yang ganjil dalam syahdu. Dan seperti tenang tampaknya Nabi, suhu badan seperti berkurang, berkat ubat dari Asma’, dan Nabi, seperti biasa, pinta ke masjid dirinya.

Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia. Hari panas ketika itu, alam mempunyai ceritanya sendiri, dan gurun masih penuh rahsia. Nabi meminta bejana air, diseluk ke air dan diusap wajahnya, berkata tenang datangnya ajal dan rela. Di pangkuan isteri kepalanya, berkata ia sukar diteka, dan tengahari Rabiulawal tahun 11 Hijrah Nabi yang mulia menghembus nafas akhirnya. Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia. Hari panas ketika itu, aduh Nabi sudah tiada.

Al-Fatihah


Ya Rasulullah ; Alangkah indahnya hidup ini, Andai dapat kutatap wajahmu, Kan pasti mengalir air mataku, Kerna pancaran ketenanganmu, Andai dapat kukucup tanganmu, Moga mengalir keberkatan dalam diriku, Untuk mengikut jejak langkahmu, Andai dapat kudakap dirimu, Tiada kata yang dapat aku ucapkan, Hanya ALLAH saja yang tahu.

Ya Kekasih ALLAH ; Tak pernah kutatap wajahmu, Kami rindu padamu, Kutahu cintamu kepada umat, Kutahu bimbangnya kau tentang kami, Syafaatkan kami ,Terimalah kami sebagai umatmu. Ya Rasulullah Ya Habiballah, Kurniakanlah syafaatmu


Ibnu Abbas ra. berkata: Nabi saw. bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Sesungguhnya Aku hanya menerima salat dari orang yang merendahkan diri karena keagungan-Ku dan tiada menyombongkan dirinya di atas makhluk-Ku, tiada terus menerus bermaksiat pada-Ku, menghabiskan masa harinya berdzikir kepada-Ku, berbalas kasih kepada orang miskin, orang musafir-ibnussabil- perempuan janda dan orang yang terkena mushibah. Ia bercahaya laksana matahari. Aku lindungi ia dengan kesabaran-Ku dan memerintahkan malaikat-Ku menjaganya. Aku berinya cahaya dalam kegelapan dan kesabaran dalam kesukaran. Ia di antara makhluk-makhluk-Ku laksana "firdaus" diantara barisan surga". (Hadis Riwayat Al-Bazzar dari Ibnu Abbas)

Thursday, February 18, 2010

teringat dulu dulu : nak jadi penulis

Aku pernah di tegur dan dikritik yang teramat pedas dan pedih dari seorang novelis yang boleh tahan terkenallah. Harus jika namanya dipaparkan, setiap pencinta novel pasti mengenalinya. Menghadiri satu kursus yang dianjurkan oleh DBP dan beliau adalah salah seorang “sifu” di dalam program tersebut. Apabila diberikan peluang untuk berkursus bersamanya dan apalagi beliau mengupas dan mengkritik bahan penulisan aku yang tidak seberapa, ia seolah satu hadiah yang tidak terharga. Sesuatu yang membanggakan bagi seorang penulis cipisan di edit oleh seseorang “Orang” . Rupanya itu hanya sementara, semangat yang berkobar untuk menarikan jari seperti seorang penulis telah disentap dengan begitu sekali. Kritikan dan teguran itu begitu menyayat dan mengguris hati.

Email yang aku terima pagi 01 Ogos 2000an jam 09.44am, sentap jiwa dee.

“Saya cuma terdaya meneliti setakat yang bertanda **** cerpen **** ini. Terlalu banyak saya terpaksa menghabiskan masa meneliti cerpen ini kerana terlalu banyak kesilapan yang sdr hantar kpd saya. Jika sdr mengharap saya membetulkan setiap titik dan koma, sdr pastinya silap. Semua yang saya sudah tunjukkan dalam bengkel tidak sepatutnya diulangi lagi. Jika masih mahu diulang, baik jangan diadakan bengkel. Kemarahan saya tidak akan terarah pada orang yang belum pernah belajar apa-apa mengenai penulisan.

Cara sdr menaip jarak barisan menggunakan komputer tapi mengikut sistem taip writer manual, juga menyusahkan. Memakan terlalu banyak waktu untuk saya membetulkannya baris demi baris. Harap sdr belajar menggunakan pc dengan betul.
(Yang ini lawak sikit .. aku dah bekerja hampir 18 tahun dan selama itulah kerja aku menggunakan computer, aku juga punyai Diploma in IT, dan selalu membuat laporan, jadi untuk mengarahkan aku belajar menggunakan PC dengan cara yang betul sungguh mengelirukan dunia orang IT haa haa haa ..)

Setelah segala-galanya memuaskan, hantarlah kembali cerpen ini kepada saya. Tapi andaikata yang dihantar nanti masih seperti orang belum pernah menghadiri bengkel penulisan, maaf, saya tidak akan meluangkan masa untuk saudara lagi. Masa saya yang ada akan diberikan kepada penulis yang bersungguh-sungguh mahu memajukan diri. Bukan yang main humban dan serah bulat-bulat kepada saya untuk membetulkannya.”
(amcam kasar tak, boleh tahanlah kan kan kan)

Emailnya aku balas, namun aku tidak sertakan tiap patah balasan aku itu, yang penting aku membalasnya dengan penuh hormat .. hormat kerana dia lebih tua dari aku .. setakat itu sahaja .. tidak pula aku berdendam, novelnya tetap aku baca, cumanya pinjam dari kekawan hendak dibeli tidak lagi kot ..

Begitulah adanya, apa yang dapat aku lakukan sebagai seorang yang baru ingin berjinak dalam bidang penulisan untuk menjadi mantap dalam masa 3 hari 2 malam, untuk pengetahuan ; program itu adalah Kursus Asas Bengkel Penulisan Badan Bukan Kerajaan (NGO) , sudah dikatakan kursus asas, jadi faham faham sudahlah, yang asasjerlah, apa sangat “input” yang peserta dapat, dia cuba membezakan aku dengan beberapa peserta yang sememangnya sudah berkarya lama dan karya mereka sudah berkali kali tersiar di akhbar, majalah, makalah malahan telah menerima pelbagai anugerah (kebanyakan mereka adalah anak anak didiknya sendiri, dari gerombolannya ; berbayar gitu) .. apapun aku tetap berterima kasih di atas teguran itu .. yea .. walaupun pahit untuk ditelan ..

Alhamdullilah setakat ini minat aku untuk menulis masih ada, walaupun hanya sisa sisa sahaja, tidak kisahlah huru hara , ke atas ke bawah ke kiri ke kanan, yang penting semangat masih ada dee .. lagipun belum ada niat berkobar kobar hendak disiarkan karya cipisan yang tersetor lama dalam laptop ini di mana mana media cetak (walaupun sebenarnya dah 2-3 juga artikel aku yang dihadam oleh orang diluar sana).. aku suka guna istilah neh .. tulis syok sendirijer .. tak ganggu orang kan ..

Hairan bin ajaib, bila melihat manusia ini terlalu angkuh dan bongkak dengan kebolehan, keistimewaan yang mereka ada, memperkecil dan memandang sinis kepada orang lain seperti sudah menjadi satu tabiat di dalam hábitat abadi diri .. sedangkan yang lagi hebat terhebat dari mereka ini tidak pula punyai tabiat dan tidak tergolong dalam hábitat itu ..

Sasterawan Negara Pak Samad sebagai contoh, entah berapa kali aku bertemu dan berbual dengannya, malahan selalu juga duduk di dalam fórum, seminar yang dihadirinya sebagai ahli panel, setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Pak Samad begitu menenangkan jiwa, kritikannya begitu lembut dalam tegas, ayat yang digunakan bukannya ayat menyentap tetapi ayat menegur penuh berhemah dan menanam semangat (namun seorang yang begitu dihormati dan amat memartabatkan Bahasa Ibundanya ini tidak terlepas dari kekejaman gas pemedih mata dari si buta hati jiwa kotor).

Sering bertemu dengan seorang pelukis yang terkenal juga, Raja Azhar, beliau selalu datang ke pejabat aku (instituisi kewangan), pernah cuba cuba minta dia untuk menilai contengan lukisan aku, lukisan caca marba sahaja, namun sebagai seorang yang profesional dan mahir dengan kerjayanya, komen Raja Azhar. “aku beli lukisan kau ni RM300, tapi kalau kau tambah sini sana sikit dan lembutkan sikit tangan tu, aku up lagi RM700 dan pamerkan digaleri aku, usaha sikit lagi”, ringkas dan mudah difahami.

jL : Menghormati orang lain seperti anda menghormati diri anda sendiri. Menghormati diri lebih memberi kepercayaan pada kita dan hendaklah kita jaga diri kita dengan menghiasi perbadi kita. Dan ketika itulah orang akan menghormati kita sepenuhnya.

Thursday, February 11, 2010

Analisis Syok Sendiri

Baru baru ini rakyat 1Negara menunggu keputusan satu perlawanan bolasepak yang menggemparkan suatu ketika beberapa bulan dahulu. Perlawanan ini emangnya menarik minat keseluruhan rakyat 1Negara. Tumpuan lebih diutamakan daripada Liga Malaysia yang sedang berlangsung sekarang atau Piala Dunia mendatang. Perlawanan yang di lihat bermain di padang yang amat tidak rata. Padang yang penuh dengan lopak lopak, lubang lubang akibat dari bentesan bentesan yang keras yang teramat ganas, apalagi diburukkan dengan pengadilan yang agak longgar dan kadangkala langsung tidak konsisten.

Pada perlawanan pertama tahun 2008, pasukan yang dikategorikan “Underdog” telah memenangi dengan keputusan yang begitu tipis. Kemenangan dengan kelebihan 3 jaringan, bukanlah sesuatu yang menyelamatkan. Bila bila masa sahaja Piala yang dijulang akan direbut dan sememangnya amat mudah diragut oleh pihak yang tidak puashati, sakit hati dengan kekalahan yang tidak redho menerima kekalahan, apatah lagi beberapa pemainnya masih baru, baru diuji dengan kemenangan, kemenangan yang tidaklah mendapat imbuhan yang begitu menghairahkan bagi pemain yang inginkan kehidupan bergaya setelah digelar juara. Maka pemain pemain ini telah dijadikan “target” utama pihak yang kalah.

Seperti ledakan bom, walaupun tidak seganas serangan Kafirun Israel ke atas tanah suci Gaza. Seperti yang dijangkakan, pasukan Juara “Underdog” telah mula kucar kacir, beberapa bulan setelah menjulang Piala, beberapa pemain sudah mula termakan gula gula dan mainan kotor dari pihak yang tewas. Dari ugutan, tuduhan sehinggalah ke RM, akhirnya; robeklah pertahanan pasukan “Underdog”, mereka kehilangan 3 orang pemain, mereka berpaling tadah menukar jersey dengan tiada perasaan malu atau bersalah, menikam rakan pasukan yang lain dari belakang dengan begitu hina sekali. Beralihlah mereka ke padang yang lebih indah, penuh kemewahan, kemegahan dan membuat “press conference” di Rumah Club Putraberjayanya. Dengan bangga mereka men”declared”kan diri mereka kini bersama pasukan yang baru, yang kununnya pasukan ini mempunyai kelebihan dari segi penyerang, bek kanan, bek kiri, pertahanan dan penjaga gol yang terbaik. Tanpa mereka sedar, sebenarnya pasukan ini di”remote control” secara total oleh ketua pasukan dan penajanya (RM), dimana pemain pemain ini samasekali dilarang untuk bersuara, yang lebih mempunggung sahaja apa yang diperkatakan oleh ketua pasukan dan penaja penajanya (RM). Dicucuk hidung dengan janjian pangkat, imbuhan lumayan.

Maka bermulalah episod perlawanan yang baru, namun kali ini perlawanan itu tidak lagi di padang berumput, memakai jersey, mengibar bendera, dipenuhi penyokong tegar. Tetapi perlawanan di adakan di dalam dewan besar, berhawa dingin, para pemain berpakaian kemas dan diadili seramai mungkin “pengadil” yang dipersoalkan kewibawaannya. Dan tercatat sejarah, bagaimana buat pertama kali dalam 1Negara yang begitu terkenal di Asia, kununnya, keputusan perlawanan berubah ubah dalam masa yang singkat, mula mula pihak ini menang tetapi tidak beberapa jam kemudian pihak yang lain pula menang. Lucu begitu lawak dan kelakar sekali. Rakyat 1Negara di hidangkan dengan satu persembahan oleh badut badut yang amat sengsasi. Semakin berserabut permainan itu. Rakyat 1Negara sudah mula muak dengan segala keserabutan, kepercayaan kepada badan badan gabungan sudah mula dipertikaikan. Pengadil diberitakan telah didakap erat oleh penaja penaja (RM) yang berkepentingan (betul atau tidak hanya mereka yang tahu). Pengadil sudah tidak tahu bagaimana menggunakan wisel dengan cara yang penuh keadilan di dalam satu satu perlawanan.

Dan sikap kerakusan, bobrok yang ketara, tamak haloba, buta hati, hasad dengki terpancar di wajah mereka. Keputusan terbaru itu, lebih mengejutkan tetapi sudah dijangka. 5 – o. Betapa hebatnya Ketua Pasukan dan Penaja penaja (RM) pasukan yang inginkan kemenangan yang mutlak itu berusaha. Rakyat 1Negara menepuk dahi merenung panjang apa sudah jadi dengan “Pengadil-pengadil” perlawanan yang diamanahkan untuk mengadili perlawanan ini secara adilnya. Tetapi itulah muktamatnya, walaupun keputusan itu tidak dapat diterima dengan akal fikiran yang waras, rakyat 1Negara tidak sabar untuk turun ke padang semula pada perlawanan yang besar nanti. “InsyaALLAH umur panjang ketemu dalam pertemuan semula pada tahun 2012”, itulah yang diperdebatkan oleh segelintir rakyat. Perlawanan bertemu buku dengan ruas pastinya. Pasukan Juara Mutlak boleh berbangga dengan Ketua Pasukan Dan Penajanya (RM). Pasukan “Underdog” pula ada kekuatan yang tersendiri yang tidak terlihat, iaitu kesetiaan dan kepercayaan oleh para penyokongnya. Yang pasti para Pengadil dan instituisi gabungan yang lain akan terus ditujah dahinya oleh para Penaja (RM), tetapi ingatlah anda tetap diperhatikan oleh para pendukung rakyat marhaen yang ada, fikirkanlah anak bini anda, janganlah disuapkan dengan rezeki yang tidak berkat ini. Nantikan pertemuan seterusnya.

Itujerlah Analisis Syok Sendiri .. bertemu di analisis yang lain pada isu yang akan datang .. bila ?? bila bila lah kalau ada isu ..

jL : Kejayaan, kemenangan hanyalah milik orang yang berusaha dengan bersungguh …

Tuesday, February 9, 2010

Berdepan Samseng Jalanraya

Malam Ahad lepas aku pie Downtown Danau Kota, supposed to be nak jumpa kawan lama dari Shah Alam, tapi dia ada emergency, so aku layan sorang dirijerlah, balik dalam pukul 12 malam, boring. Dalam perjalanan balik ke Pandan Indah, kenderaan boleh tahan banyak, almaklumlah malam minggu. Aku ikut highway MRR2, sampai di fly over Hospital Ampang Putri, dari cermin belakang aku dapat melihat sebuah trooper 4x4 memandu dalam keadaan laju dan merbahaya. Dipandu secara “z z”, ke kiri kanan memotong kenderaan tanpa signal.

Sampai di hadapan Tesco Ampang aku melihat kereta tu berhenti di sisi jalan. Aku agak mungkin dia dah penat kot bawak gila gila. Tiba tiba kereta tu memotong aku dan beberapa kenderaan lain seperti yang dilakukankan sebelumnya. Beberapa kereta membunyikan hon termasuklah aku, tiba tiba kereta tu berada depan aku, aku flash high beam terkejut, dia berhenti mengejut dan aku hampir melanggarnya. Keluar si pemandu dengan perasaan marah dan mengetuk tingkap, elokjer aku buka, dia cuba mencekik leher aku dan dengan pantas aku memegang tangannya dengan tangan kiri dan tangan kanan cuba mencapai stering lock, tiba tiba keluar 2 orang lagi meluru kearah aku, peh .. cuak aku bila tengok dah 3 orang nak mengerjakan aku, steering lock yang hendak dicapai aku letakkan balik.

Seorang darinya terlalu agresif, dia memaki hamun aku, ajak aku bertumbuk, sambil cuba buka pintu, nasib aku dah locked awal awal, seorang lagi hanya memerhatikan aku, siut diaorang dalam keadaan mabuk, tersangat mabuk, bau nafas mereka teramat busuk, seorang lagi aku rasa taklah mabuk sangat, bila aku sedar yang diaorang ni mabuk, aku ambil keputusan untuk tidak berkonfrontasi, nak tak nak akulah yang beralah mintak maaf, tak guna bergaduh dengan orang mabuk ni, setelah diaorang puas aku mintak maaf, barulah diaorang blah, sebelum blah , yang tak terlalu mabuk tu, tegur aku “tak mau gaduhlah kawan, kita kawan kawan maaa” .. eih .. bila masa pulak aku yang carik gaduh .. aku pening, dahlah pening bau arak setan tuu .. gilaaaa .. kalau dah mabuk nie ..

Dasar rakyat 1Negara, takder sorangpun berhenti, cuba meleraikan kejadian tu, sedangkan sebelum itu banyak kereta yang hon kereta kurang ajar tu, semua pakat tolong .. tolong tengokjer .. hampeh keladak .. aku pula terpaksa mengambil tindakan beralah bukan kerana takut, tapi aku kena beringat; aku ada beberapa tanggungjawab, yang amat amat penting dan demi masa depan aku nanti, ceh .. andai kata kalau aku nak beraksi dengan diaorang .. ish gilo apo, 3 orang tuh tak pasal pasal dok spital ..

jL : aku heran, tiap kali kalau aku tengok orang yang perlukan bantuan di tepi jalan aku akan berhenti dan mengusulkan bantuan jika diperlukan, tapi bila aku kena, alamak eh takder sapa nak bantu .. huhuhu .. apapun lepas ni aku nak masuk kelas mempertahankan diri, mana tahu benda camnie berlaku lagi, bukan jer nak berdepan dengan puak puak mamai ni, mungkin juga boleh diguna pakai masa roadblock kee, kena tahan tiba tiba dengan Si Penguasa Baju Biru atau berdepan dengan Yang Berkepala Merah .. mana tau kan kan kan

Tuesday, February 2, 2010

ISLAM itu Indah

Pagi tadi aku ke Jabatan Agama Islam. Mengambil dokumen penting, alhamdullilah tiada masaalah walaupun dah bertahun dokumen dok tersimpan di situ. Sementara aku sedang menunggu, aku tertarik dengan satu perbualan di hadapan aku, seorang wanita yang aku rasakan non- Muslim, sedang duduk dengan tekun mendengar cerita dari seseorang, yang juga sedang menunggu nombor gilirannya dipanggil, seorang Muslimah berwatakan lembut.

Muslimah terbabit bercerita dan bertazkirah tentang keindahan Islam. Beliau bercerita tentang perjuangan Kekasih ALLAH Nabi Muhammad SAW, isteri Baginda .. Saidatina Siti Khadijah r.a, kesabaran dan ketaqwaannya kepada ALLAH dan kecintaannya kepada Baginda, pengorbanan yang terlalu tinggi di dalam perjuangan Islam di masa itu. Saidatina Siti Khadijah r.a yang ditabalkan gelaran Ummul Mukminin, ibu orang orang beriman. Ia semulia mulia isteri, teladan yang paling baik, hidupnya penuh dengan kebaikan, jiwanya penuh dengan kemuliaan, isteri yang juga penasihat, memberikan sentuhan sentuhan lembut yang menjadi penyejuk hati kepada Baginda Rasullullah di dalam berjuang menegakkan agama ALLAH.

Dia bercerita secara ringkas dan tenang, namun apa yang aku dengar, isinya begitu padat dan berinformasi. Di akhir perbualan Muslimah itu mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana memilih Islam untuk meneruskan perjalanan hidupnya. Dan sebelum wanita itu masuk untuk berjumpa dengan Pegawai Agama, mereka bersalaman, ayat yang aku dengar dari mulut wanita itu, terang dan jelas .. “Terima Kasih banyak banyak kak, Islam Itu Indah, semoga saya dapat bertemu dengan kakak lagi nanti”, .. “InsyaALLAH dik,”

Sepintas aku melihat muka Muslimah itu, nampak jelas kepuasan di raut wajahnya, dan aku sendiri tanpa sedar mengucapkan kalimah alhamdullillah syukur di dalam hati. Sesungguhnya kita mampu berdakwah di mana mana jua, yang penting keinginan untuk memperjuangkan agama Islam itu senantiasa berada di dalam darah daging kita.

jL : Hidup tak selalunya indah tetapi hidup ini akan menjadi indah seandainya kita bersyukur dan bertaqwa kepada Allah.

begitulah seharusnya

Ditanya, sama ada beliau sedang diperalat parti pembangkang, beliau menolak dakwaan tersebut.

"Saya bukan alat mana-mana pihak sama ada pembangkang ataupun kerajaan, saya hanya alat rakyat," katanya : KuLi :

jL : begitulah seharusnya, bukan hanya mementingkan perut sendiri sahaja, ketika kita berkuasa kita boleh memijak sesiapa, kelak apabila kuasa itu telah tiada kita akan meminta minta pula, dan mungkin kepala kita pula diinjak terhina .. fikir fikirkanlah …