in Islam, there is no words for "hand's up", there is no words "surrender", there are only two thing's; Win as a "MUJAHID" or Die as a "SYAHID"

:bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam:

Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina atau India tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai. ~TGNA~



Segala Catatan Adalah Pandangan Peribadi Penulis, Tidak Mewakili Pendirian/Pandangan Mana Mana Pihak : jari'menari abuAMMAR aka jeansLusuh



Dengan membaca atau melihat di Blog ini anda telah bersetuju dengan persaratan Blog ini, dengan itu tiada apa jua cara dan tindakan yang dapat dikenakan pada Blog ~ jeansLusuh ini



Monday, June 20, 2011

hidup ini singkat Nak

ISNIN, pemula hari bekerja. Ada orang kata Monday Blues, ada orang kata masih berada di hari liburan aka Ahad. Apapun, hari Isnin, bagi mereka yang bekerja makan gaji, kena juga masuk ke pejabat, walaupun menguap entah berapa kali.

Hari ini aku memang tidak boleh tahan lapar, kebiasaan aku tidak terlalu teruja untuk “pecah laju” tetapi pagi ini perut berkata “isikan aku, isikan aku dengan sesuatu”. Baiklah, aku kena bergerak, jika tidak anak mata akan semakin melayu.

Restoran Janggut di tuju, sudah terbayang nasi lemak dan telor goreng di banjiri dengan kuah sardin. Milo tarik. Uuhh !!

“Pak Cik hendak ke mana”.

“Tu hendak ke sana, hendak ke Kedai Mamak tu,” satu tujuan, satu arah. Tangannya ku pimpin. Sudah pasti Pak Cik tidak larat untuk mendaki tangga yang telah disediakan untuk melintas, maka itu dia ambil keputusan melintas jalan Raja Laut yang sesak dengan kenderaan yang dipandu menggila selepas dibenarkan oleh lampu isyarat di persimpangan Bangunan Sime Darby. Seolah pemecut F1 Sepang.

“Umur Pak Cik dah 68 tahun, Jalan Raja Laut dan Chow Kit ni dulu tempat mainan Pak Cik,” mengisi ruang kosong sebelum makanan yang di pesan tiba.

“Chow Kit ni dulu pada zaman Pak Cik , penuh dengan noda dan dosa, di sinilah Pak Cik menjadi salah seorang penghuni Chow Kit yang tegar dengan benda benda maksiat,” tangannya nampak menggeletar ketika menghirup Kopi O nya.

“Pak Ciklah samseng, Pak Ciklah yang selalu ‘pau’ duit orang, entah berapa ramai yang Pak Cik pukul, entah berapa anak anak gadis yang tidak berdosa Pak CIk khianati, ALLAH,” menekan dadanya.

Aku sudah mula rasa tidak sedap hati, mengapa Pak Cik ini bercerita kepada aku, tetapi untuk tidak mengecilkan hatinya, aku tekun mendengar.

“Anak nampak orang baik baik, Pak Cik tahu, Pak Cik orang lama, Pak Cik tahu,” aku senyum dan ucapkan terima kasih.

“Jangan persiakan hidup muda ini dengan benda benda karut yang yang dilaknat ALLAH, nanti menyesal, hidup kita singkat, hidup kita singkat Nak,” aduh, aku semakin sayu apabila melihat wajah sayunya.

“Pak Cik menyesal, sebenarnya Pak Cik kemari ingin mencari rakan rakan Pak Cik, sekiranya mereka masih di sini Pak Cik hendak membawa mereka ke jalan yang benar kembali, Pak Cik dah insaf, Pak Cik hendak menebus balik dosa dosa yang Pak Cik buat dulu,”.

“Pak Cik dari mana,” aku mula berani bertanya.

“Pak Cik dari sebuah negeri di Selatan, sudah 3 minggu di sini, menumpang di rumah seorang sahabat, Ustaz di Kampung Baru dan pada masa sama Pak Cik sedang berubat,” jarinya menunding ke arah Kampung Baru yang bakal lupus tidak lama lagi jika tiada usaha mempertahankannya.

“Jiwa Pak Cik terganggu dek kerana dosa dosa Pak Cik yang lampau, Pak Cik tidak pernah hendak bertaubat, Alhamdullilah setelah 3 minggu bersama Ustaz, baru Pak Cik nampak ada jalan yang ALLAH bukakan untuk orang seperti Pak Cik, Pak Cik insaf,” sambil mengusap kedua dua tapak tangannya ke muka.

“Pak Cik maaf, saya tak boleh lama sangat kerana saya bekerja, insyaALLAH ada umur panjang mungkin kita boleh jumpa di Masjid Jamek waktu Jumaat nanti,” aku perlu segera beredar, kerana rasanya aku sudah hampir sejam mendengar keluh kesah Pak Cik ini.

“Oohh, ya .. ya insyaALLAH, maaf kerana menganggu sarapan Anak, kalau jumpa Pak Cik di Masjid nanti tegurlah ya,” aku bersalam sambil mencium tangannya.

“Ya ALLAH, inilah pertama kali seorang Anak mencium tangan aku, kalau sebelum ini tangan inilah yang bongkak, menampar dan menumbuk sesiapa sahaja,” suaranya semakin sebak.

Aduh, apa yang aku sudah lakukan. Aku usap belakangnya. “Pak Cik saya jalan dulu ya,” aku harus segera beredar. Mata aku sudah merah menahan air mata.

“Khalidah kira sekali dengan pak Cik tu punya,” selepas membayar sekali lagi aku melambai kepadanya. Dan Pak Cik itu mengangguk sayu.

Siapakah Pak Cik itu, sesuatu yang aku harus selidik lagi, mungkinkan dia ‘otai’ yang dilupakan. Pasti banyak cerita yang boleh aku dapat.

Jadi projek Jumaat ini, mata akan menjeling jelling di persekitaran dan dalam Masjid Jamek untuk berjumpa kembali Pak Cik itu. Semoga bertemunya.

Tuesday, June 14, 2011

haiya ...

“haiya, lu orang Melayu, mana boleh minum itu air maaaa”, tegur seorang Uncle Cina kepada 2 orang remaja Melayu di sebuah kedai serbaneka 24jam di Water Front Ampang, dengan memegang 4 tin Beer Calsberg, 2 remaja itu hanya tersenyum payau. Tiada rasa bersalah, yang ada penuh bangga pula sambil membuka salah satu tin dan meneguknya.


Jadi aku terfikir, apakah yang mendorong 2 remaja tersebut mengambil air “kencing setan” itu. Adakah mereka keliru yang beer itu adalah bir halal yang kecoh beberapa minggu lepas, atau mereka memang sudah tahu yang air itu haram se haram haramnya bagi umat Islam, tetapi sengaja ingin melawan hukum ALLAH.


Atau mereka ini terdorong dengan perasaan ingin mencuba; natijah dari menonton filem filem yang sebegitu. Filem filem yang berbentuk gangster, samseng. Filem filem yang bagi sebahagian Pengarah ingin membawa kebaikan tetapi terjadi di sebaliknya pula.


Maka berlakulah “tangkap syok” oleh anak anak remaja ini. Kata mereka “alaa, dalam filem tu kan akhirnya hero tu insaf, dia kena tangkap, dalam penjara dia menyesal dan kuar penjara dia jadi baik, kita tunggulah kita kena tangkap pulak,,” aduh, perangkap filem.


Berbalik kepada 2 remaja tadi, selepas membeli dan meneguk setin beer sambil berkongsi. Mereka terus ke motorsikal sambil menjerit dan meloncat loncat di atas motor. Motor ditunggang secara merbahaya. Adakah air kencing setan itu sudah menguasai tubuh dan fikiran mereka. Aduh anak anak remaja Melayu ku.


Dan aku terus keluar dari kedai 24jam itu tanpa membeli apa apa. Tujuannya ingin membeli Mineral Water. Namun haruskah duit ini dibelanjankan di dalam sebuah kedai yang juga menjadi agen maksiat. Ohh ! tidak sama sekali.

Sunday, June 12, 2011

sebulan

Tarikh 10.05.2011, lahirlah seorang lagi hamba ALLAH SWT yang akan memenuhkan ruang solat di masjid masjid, surau surau, musollah musollah .. insyaALLAH, yang akan menjadi seorang Ummat Muhammad yang akan memperjuangkan Islam.


Lahirnya Ammar Hafiz, memberikan sinar baru dalam keluarga aku. Setelah hampir sembilan bulan digendung di dalam perut umminya. Alhamdullah Ammar Hafiz lahir dalam keadaan normal dan sihat.


Selama 2 jam di dalam bilik bersalin. Melihat sendiri keadaan zaujah yang menahan kesakitan, itu dapat aku terjemahkan apabila tangan aku digenggam erat, kebas kerana darah tidak dapat mengalir. Menginsafkan aku betapa tingginya pengorbanan seorang isteri kepada suaminya, seorang ummi yang sabar selama itu ingin menyambut zuriat pertamanya.


Peluh yang keluar, airmata yang mengalir adalah satu pengalaman yang tidak tertuliskan.


Saat indah yang dinantikan apabila terdengar tangisan seorang insan, menghilangkan semua kesakitan dan kerunsingan selama 9 bulan itu.


Segala pengorbanan dan kenangan terindah bersama Zaujah selama 2jam 15 minit di dalam bilik bersalin akan tersemat selamanya. Dan akan diceritakan kepada seorang yang bernama Ammar Hafiz di setiap detik dan waktu.


Terima kasih Zaujahku, Amirah kerana memberikan kebahagiaan kepada suamimu ini. Terima kasih kerana menerima suami mu ini seadanya. Terima kasih di atas kesabaranmu dengan perangaiku ini.


Ayuh, mari kita sama sama terus melayari kebahagiaan yang tercipta ini selamanya. InsyaALLAH dengan keberkatan dariNYA, keluarga kita akan bersatu teguh.


Kita sama sama membekalkan Ammar Hafiz dengan ilmu Agama, semoga dia nanti akan menjadi benteng utuh kepada kita dimasa hadapan.


Ammar Hafiz, Ayah dan Ummi berdoa agar, Ammar Hafiz akan menjadi seorang pemimpin, pejuang Islam yang digeruni suatu hari nanti. Amin


Dan 10 Jun lepas genap sebulan Ammar Hafiz. Kasihan baru seusia muda ini Ammar Hafiz sudah dimusuhi. Cukup menghairankan, seorang yang sudah berumur hampir 30 tahun tetapi punyai perangai seperti seorang anak kecil, jika ingin bermusuh dengan aku dan zaujah, terus terang; ‘ada aku kesah’, tetapi apalah sangat dengan anak yang sekecil itu.


Dan jangan sesekali engkau ingat aku dan zaujah akan melupakan kata kata kurang ajar itu. Aku akan ingat sampai bila bila, percayalah.


OOHH! Ya, engkau buanglah sikap ego, sombong kaki lutut engkauu itu wahai pemuda. Kalau setakat dengan perjalanan hidup engkau yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu, ubahlah dahulu jika ingin menunjukkan yang kununnya engkau seorang hebat.


InsyaALLAH aku tidak akan bermusuh dengan engkau, kerana tiada gunakanya hendak bermusuh dengan orang seperti engkau. Buang maso den yo. Tetapi kalau hendak hai,hoi sorilah dee. Cuma aku hendak minta tolong sikitlah, jangan ganggu keluarga bahagia aku. Ok Bro, lu memang dasarlah semua orang lu nak bikin musuh. Dasar turrr punya orang :keypadlock: