26 Oktober 2010, sekali lagi Indonesia di timpa musibah. Di Padang berlaku gegaran sekuat 7.7 skala richter dan disusuli dengan tsunami, mengakibatkan beratus terkorban dan beratus lagi hilang disamping kerosakan harta benda. Di Yogjakarta pula Gunung Merapi yang berusia 400,000 tahun dan antara paling aktif di kepulauan itu telah meletus dan menghasilkan suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu.
Penulis pernah ke Yogjakarta bagi misi bantuan kemanusian, gempa bumi dan Gunung Merapi pada tahun 2006 (NGO:YSM) dan juga ke Padang pada Oktober tahun 2009 genap setahun bencana gempa bumi (NGO.IRM).
Namun apabila membaca berita yang bertajuk “Jenazah mirip Mbah Maridjan sedang sujud ditemui di bilik tidur rumahnya”, penulis merasa sebak.
Kembali mengimbau misi 2006 lalu. Bersama kekuatan seramai 8 orang relawan, kami telah kerumah Allahyarham yang hanya lebih kurang 4kilometer sahaja jaraknya dari puncak Gunung Merapi yang ketika itu sedang aktif mengeluarkan haba dan lava. Berhampiran rumahnya terdapat sebuah surau (Masjid Al Amin). Kami berjemaah zohor dahulu sebelum menemui beliau. Agak memeranjatkan, diketika lava panas dimuntahkan dan mengenai pakaian dan tubuh kami, ia tidak begitu terjejas malahan cuaca ketika itu amat dingin sekali dan air dari kolah surau teramat sejuk, sehingga kami teragak agak untuk mengambil wuduk.
Di hadapan pintu rumahnya ketika itu tertera nota “Dengan hormat, mulai sekarang Mbah Maridjan tidak melayani wawancara”. Kami hampir kecewa tetapi ia bertukar ceria apabila Allahyarham sudi menemui kami malahan telah dijemput untuk masuk kedalam rumahnya dan dihidangkan air. Kami mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan memaklumkan tujuan kami ke Yogjakarta dan serba sedikit latar belakang NGO yang kami wakili. Allahyarham sendiri telah memberikan sedikit informasi tentang tempat tempat yang perlu disusuri bagi memudahkan kami menyampaikan bantuan. Sebelum beredar, kami sampaikan sedikit bantuan untuk Allahyarham agihkan kepada penduduk di sekitar rumahnya.
Siapa Mbah Maridjan : Penjaga 'kunci' Gunung Merapi Mbah Maridjan alias Mas Penewu Suraksohargo. Pelantikan Mbah Maridjan sebagai 'penjaga' Gunung Merapi merupakan sebahagian daripada adat turun temurun Kesultanan Jawa sejak dahulu kala lagi.
Allahyarham dilantik sebagai pemegang kunci gunung tersebut oleh ayahanda kepada Sultan HamengkuBuwono X iaitu Sri Sultan HamengkuBuwono IX.
Sejarah kuno Jawa percaya, penjaga gunung ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan tuannya iaitu gunung berapi tersebut.
Atas sebab itu jugalah nama Mbah Maridjan menjadi popular ketika Gunung Merapi meletus pada tahun 2006. Ia bersama sejumlah warga Kinahrejo Kecamatan Cangkringan Sleman yang tinggal di kawasan yang disifatkan sebagai kawasan bencana itu enggan berpindah kerana menurut firasatnya gunung tersebut tidak akan memuntahkan laharnya.
Padahal saat itu, Gunung Merapi sudah masuk ke peringkat bakal meletuskan lahar pada bila-bila masa sahaja.
Bahkan Sri Sultan Hamengku Buwono X sempat memerintahkan dia untuk turun dari pergunungan itu. Namun beliau enggan mendengar arahan itu yang dianggap sebagai ingkar perintah Sultan.
Benar sungguh, Merapi tidak segawat yang diperkatakan ahli-ahli geologi. Firasat Mbah Maridjan itu menjadikannya popular.
Namanya terus melambung dan kemudian menjadi bintang iklan sebuah minuman bertenaga. Duit pun mengalir deras ke kantongnya.
Namun selebriti tua ini tidak menikmati keuntungan dari hasil duit iklan itu sendirian. Sebaliknya, dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat. Di daerah Kinahrejo, beliau bukan sahaja membangunkan masjid malah gereja hasil daripada wang tersebut.
Beliau dipetik sebagai berkata, biar warga di sana beribadah sesuai mengikut keyakinan masing-masing. Mbah Maridjan sendiri adalah seorang penganut Islam yang warak.
Selain itu, Mbah Maridjan acap kali menyalurkan beras kepada warga yang memerlukannya.
Mbah Maridjan dilahirkan di Dukuh Kinahrejo, Desa Umbulharjo, Cangkringan, Sleman pada tahun 1927.
Penglibatannya sebagai penjaga Gunung Merapi bermula pada tahun 1970 apabila ayahanda kepada Sultan Kraton sekarang melantiknya sebagai pembantu kepada pemegang kunci gunung.
Beliau dilantik sebagai pemegang kunci Gunung Merapi pada tahun 1982. Mbah Maridjan mempunyai beberapa anak, yakni Mbah Ajungan, Raden Ayu Surjuna, dan Raden Ayu Murjana.
Dan akhirnya beliau “pergi” dalam keadaan sedang sujud menyembah ALLAH SWT yang maha kuasa.
Kemesraan dan layanan yang baik dari keluarga Allahyarham akan kami kenang. Walau ada yang mengatakan Allahyarham ini seperti bomoh, dukun, menyembah merapi atau sebagainya. Itu antaranya dengan ALLAH SWT. AlFatihah