in Islam, there is no words for "hand's up", there is no words "surrender", there are only two thing's; Win as a "MUJAHID" or Die as a "SYAHID"

:bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam:

Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina atau India tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai. ~TGNA~



Segala Catatan Adalah Pandangan Peribadi Penulis, Tidak Mewakili Pendirian/Pandangan Mana Mana Pihak : jari'menari abuAMMAR aka jeansLusuh



Dengan membaca atau melihat di Blog ini anda telah bersetuju dengan persaratan Blog ini, dengan itu tiada apa jua cara dan tindakan yang dapat dikenakan pada Blog ~ jeansLusuh ini



Monday, January 30, 2012

Misi ke Bandar Delisa: 2004

Setelah menonton filem Hafalan Shalat Delisa beberapa kali, terkesan pula di hati ini untuk melakarkan sedikit memori semasa aku bermisi ke sana untuk memberi sedikit bantuan yang seadanya. Pengalaman selama 13 hari di Bumi Delisa semasa bencana sebenarnya punyai 1001 cerita. Ada yang masuk akal dan ada pula terikir 2 kali jika mendengar keluhan dan cerita dari penduduk yang terselamat. Seperti apa yang terdapat di dalam Novel Hafalan Shalat Delisa itu, ada beberapa situasi yang aku alami sendiri.

Walaupun sudah hampir 7 tahun berlalu, segala kepahitan, kesedihan, kemusnahan dan kematian masih bermain di ruang fikiran, masih terbayang di rongga rongga anak mata.

28 December 2004 : 09.00 malam – Kuala Muda, Kedah

“ Assalamualaikum, where are u ,”

“ Waalaikummussalam .. saya di Kuala Kedah sedang survey bantuan yang diperlukan ”

“ Ok you need to take a long leave, 07 – 18 January , mission to Acheh, I need u answer ASAP ”

“ Noted, En Ghani .. i’m in for the mission ”

Tanggal 8 Januari 2005 aku menjejakkan kaki ke Banda Acheh. Selepas 14 hari gegar gempa pasak bumi, gelodak air hitam berputar ganas, ombak besar menghempas bumi Acheh, gelora itu ingin aku kongsi bersama. Tidak sanggup rasanya hanya melihat di dada akhbar dan dikaca TV merasai kepedihan itu. Bersama rakan rakan sukarelawan dari Yayasan SALAM Malaysia. Kami mengerah keringat membawa bersama perasaan prihatin rakyat Malaysia untuk membantu seadanya, saudara saudara kami di Acheh.

Itulah yang dapat aku ungkapkan sepanjang berada di Acheh sebagai sukarelawan misi bantuan kemanusiaan bersama Yayasan SALAM Malaysia. Misi ini dianggotai dengan kekuatan seramai 5 orang doktor dari HUSM Kubang Kerian, 3 orang media dari Channel 9, 4 wartawan serta 5 sukarelawan yang berlatar belakangkan berbagai bidang kerjaya.

Sebelum aku menyertai misi ini. Begitu banyak suara yang berkata. Antaranya “ kan dah dekat 2 minggu buat apa pergi dah takder apa-apa dah “ .. “ dah takder kerja lain kee ?“ .. “ tak takut mati kee ?“ .. dan berbagai lontaran persoalan yang kadangkala menyentap perasan, tidak terfikirkah, mereka ditimpa musibah itu memerlukan bantuan kita. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangat aku untuk meneruskan misi kemanusiaan ini. Sokongan dari keluarga dan rakan-rakan seperjuanganlah yang menguatkan semangat untuk meneruskannya.

Setelah hampir 8 jam terkandas di Lapangan Terbang Medan, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang TNI AU Banda Acheh tepat jam 02 pagi 08 Januari 2005 hari Sabtu. Hati kami terus tersentuh. Dipersekitaran Lapangan Terbang yang kecil itu, telah dijadikan penempatan sementara bagi para mangsa Tsunami. Anak-anak kecil dalam dakapan ibu lena hanya berselimutkan dingin subuh pagi berlandaskan lantai yang masih basah kerana dilimpahi hujan. Bunyi bingit kapalterbang Kargo Hercules serta helikopter dari beberapa negara yang tidak putus menghantar bantuan langsung tidak diendahkan oleh mereka. Berbanding dengan kami yang baru pertama kali melalui suasana sebegitu.

War Zone” jika boleh aku gambarkan suasana di Lapangan Terbang Banda Acheh. “Ini baru di sini, kita belum lagi ke Banda Acheh tempat yang terkesan secara langsung” kata salah seorang rakan sukarelawan.

Bau mayat ?. Alhamdullilah, di sepanjang misi kami bau mayat bukanlah satu masalah yang besar bagi kami. Mungkin bau itu telah dialihkan sedikit ketempat lain agar amanah rakyat Malaysia dapat kami tunaikan. Lang Pisang dan Lok Ngan salah satu perkampungan yang berpadatan penduduk seramai hampir 10 ribu orang. Ranap bak padang jarak padang tekukur, yang tinggal hanyalah tapak-tapak rumah dan beberapa buah masjid yang masih gagah berdiri tegak. Di sepanjang jalan pemandangan kami hanya disajikan dengan mayat-mayat bergelimpangan yang masih belum diuruskan. Difahamkan di bawah runtuhan rumah, timbunan pokok dan sampah-sarap malahan di bawah beberapa kenderaan masih terdapat beribu lagi mayat yang terperangkap. Tanpa disedari airmata bergenang apabila kami melintasi beberapa mayat dan salah satu mayat itu jelas kelihatan mayat anak kecil bersama ahli keluarganya, apatah lagi apabila melihat mayat-mayat itu tidak di urus dengan sempurna.

Kami sebenarnya ditegah untuk melakukan SAR (Search And Rescue) di atas sebab-sebab tertentu, namun hati kami tidak mampu untuk melihat mayat anak kecil itu terbiar begitu sahaja tanpa disempurnakan, maka kami telah memaklumkannya pada pihak yang berkenaan agar dapat disempurnakan atau setidak-tidaknya mayat itu tidak menjadi makanan anjing yang begitu banyak sekali berkeliaran.

“ Siapa nama kamu ” … “ Airnya besar .. dush .. dush .. tolong .. tolong .. tolong ibu, mbah .. tuu ayah berenang .. dush .. dush .. air besar , air besar” “ kamu udah makan belum ” ..“ Airnya besar .. dush .. dush .. tolong .. tolong .. tolong ibu, mbah .. tuu ayah berenang kok .. dush .. dush .. air besar, air besar ” begitulah setiap kali jawapan yang di terima apabila diajukan soalan kepada anak kecil berumur 4 tahun yang berada dipangkuan neneknya.

Jawapan yang sama .. trauma yang berpanjangan .. Keseluruhan keluarganya hilang sehingga kini masih belum ketemu, entah bila phobia itu akan hilang dari ingatannya. Malang anak secomel ini, alangkah bahagiannya ia jika ada yang sanggup menyambung kasih sayang yang telah terputus.

“ Jika satu kubur besar ini ada berapa ribu mayat ya Pak ” .. “sekurang-kurangya lebih 40,000 mayat satu kubur besar ” .. terang Pak Muslimim dari Komandar TNI yang bertugas di daerah Ulee Lhee, kawasan dipersisiran pantai yang musnah bak “Ground Zero” .. “

Jika disekitar sini sahaja ada berapa banyak kubur besarnya Pak ” .. “ sekitar sini sahaja, setidak-tidaknya hampir 10-20 buah kubur besar dan mungkin terpaksa digali lagi “ sambil matanya merenung jauh, tampak sekali keletihan dan kesedihan di raut wajahnya. Dan disungai yang airnya sudah tidak lagi mampu mengalir kerana longgokan sampah sarap, di celahan longgokan itu terjerat 5 mayat yang masih terapung dan membengkak.

Masih terdengar-dengar jerit pekik kanak-kanak berkejaran “ Hidup Malaysia .. Hidup Malaysia .. Assalamualaikum Malaysia .. terima kasih bapak -bapak Malaysia “ apabila misi kami tiba di setiap pos-pos penempatan sementara, dan apabila kami selesai menjalankan tugasan dan mahu pulang ke “base” , kepulangan kami diiringi dengan airmata terima kasih daripada ibu-ibu dan lambaian sayu dari anak-anak tersebut. Genggaman erat mereka melambangkan betapa kuatnya ukhuwah yang terbina sebentar itu. Sememangnya rakyat Acheh malahan pasukan keselamatan mereka samada TNI atau POLISI amat menghormati bantuan dari negara Malaysia, apatah lagi sekiranya mereka tahu kami adalah sebuah badan NGO.

13 hari yang panjang .. gegaran gempa yang tanpa henti di sepanjang malam, kemusnahan, kerosakan, kesedihan, kemurangan, trauma, phobia, kehilangan orang tersayang, ibu, ayah, abang, kakak. Tinggal sebatang kara, anak yatim meratap pilu terkenang ayah dan ibu tiada lagi tempat mengadu, yang hilang ingatan merayau-rayau tanpa tujuan, mayat semakin hari semakin banyak ditemui, yang mencari sanak saudara masih mencari dan berdoa agar ditemukan semula, namun penantian itu masih belum ada penyudahnya. Jika terkorban dimanakah jasadnya, jika sudah dikebumikan dimanakah batu nesannya. Warna warna kelam dan pudar inilah yang sedang menutupi sinar tanah Banda Acheh di ketika itu.

Bencana 26 Disember 2004, benar-benar menyedarkan kami bahawa kita hanyalah insan kerdil yang tidak punya apa. Yang kaya, miskin, kuat, lemah segalanya adalah milik ALLAH. Usahlah kita ego dengan apa yang kita ada, kerana dengan sekelip mata akan hilang jika itu yang telah dirancang olehNYA. Banda Acheh meninggalkan sejarah 2004.

Semoga mereka yang terkorban dalam bencana Tsunami ini akan diletakkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan soleh. AL-FATIHAH .

Selepas ini Misi Selami hati mereka