in Islam, there is no words for "hand's up", there is no words "surrender", there are only two thing's; Win as a "MUJAHID" or Die as a "SYAHID"

:bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam:

Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina atau India tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai. ~TGNA~



Segala Catatan Adalah Pandangan Peribadi Penulis, Tidak Mewakili Pendirian/Pandangan Mana Mana Pihak : jari'menari abuAMMAR aka jeansLusuh



Dengan membaca atau melihat di Blog ini anda telah bersetuju dengan persaratan Blog ini, dengan itu tiada apa jua cara dan tindakan yang dapat dikenakan pada Blog ~ jeansLusuh ini



Wednesday, March 14, 2012

Amanah ALLAH jangan dipersiakan

Di luar; rintik rintik hujan perlahan turun, angin pula menyusuk ke tulang sum sum. Di hadapan lap top, saya tercari cari mukadimah untuk menceritakan betapa hati ini sedang sebak bercampur dengan api kemarahan.

Untuk mencari sedikit ketenangan, saya menoleh menatap wajah seorang insan yang mampu mendamaikan jiwa. Sedang nyenyak tidur, letih barangkali setelah bersungguh untuk bangun dan bertatih. Jatuh entah berapa kali, menangis sebentar kemudian ketawa, pantas pula berusaha kembali untuk bangkit. Mungkin dia tercabar dengan ayahnya sering mentertawakan apabila dia terduduk.

Wajah bersih yang menyenangkan hati itu menarik nafas perlahan, saya tinggalkan sebentar lap top , mencapai selimut dan menutup tubuh kecil yang memeluk erat bantal peluknya, tertulis “sayang ayah, sayang ummi”, tidak mahu menganggu umminya yang sedang berkemas di dapur, sesekali terdengar jeritan kecil apabila sang lipas keluar bergurau senda dengannya. Ahh !! sang lipas, tidak tahu bagaimana lagi ingin menghapuskan kamu.

Saya cukup bahagia apabila bersama sama dengan dua insan tersayang ini; Zaujahku dan AmmarHafiz.

Kembali di hadapan lap top, mendapat kembali sedikit semangat untuk melakarkan sesuatu di atas skrin putih ini.

Pada suatu ketika dahulu saya ada mencatatkan kesedihan saya akan kehilangan seorang anak comel; Allahyarhamah Adik Syafiah Humaaimah Sahari yang didera oleh bapa tirinya sehingga si comel ini menghadap Illahi dalam keadaan yang cukup menyeksakan.

Ya, mungkin sekarang Adik Syafiah sedang bergembira dengan rakan rakannya yang lain, Adik Nurin Jazlin, Adik Haserawati Adik Saridi, Adik Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, Adik Nurul Huda Abd Ghani, Adik Sharlinie (yang masih tidak ditemui), Adik Asmawi (yang masih tidak ditemui) dan beberapa lagi kawan kawan adik yang lain.

Saya sangkakan setelah berbagai peristiwa sedih ini berlaku, akan tiada lagi kejadian sadis ini kembali.

Namun, seperti ada satu tumbukan yang kuat menghentak dada. Berita pada 8 Mac yang lalu sungguh sungguh menyentap perasaan.

Apalah salahnya seorang anak kecil seumur 5 tahun itu, diculik, dicekik, dibunuh dan lebih zalim lagi mayatnya di bakar hangus. Adakah hanya kerana berdendam dengan salah seorang dari ahli keluarganya, anak yang tidak bersalah itu diperlakukan sekejam begitu. Patutkah hanya kerana dihina dan dipandang rendah, sanggup pula bertukar menjadi seperti binatang. Di manakah letaknya keimanan sehingga sebegitu mudah diri di kuasai Syaitan.

Allahyarhamah Adik Nurul Nadirah Abdullah atau nama manjanya Dirang telah menjadi mangsa kepada mereka mereka yang tiada ilmu agama dan jahil dalam segala galanya. Yang membunuh tiada otak dan yang menghina (seperti yang diberitakan) juga sama sahaja.

Mengapa ingin bermusuhan sesama sendiri, sedangkan masing masing bersolat, berkiblatkan yang sama. Begitu cetekkah ilmu Agama atau sememangnya ingin melawan segala hukum hakam ALLAH.

Apa yang anda dapat sekarang, yang membunuh itu, adakah merasa puas sedangkan ketika di hina tiada cacat celanya pada diri atau kehilangan apa apa dan yang menghina itu (jika ya), adakah anda merasa puas kerana menghina dan menjatuhkan orang lain.

Natijahnya; inilah yang anda dapat, yang membunuh pastinya akan di hukum gantung sehingga mati sekiranya di dapati bersalah manakala yang menjadi punca pula (jika ya) kehilangan sesuatu yang amat berharga, harta yang di kurniakan oleh ALLAH SWT, amanah yang sepatutnya di jaga dengan rapi.

Kini, penyesalan tiada guna. Menangislah walau keluar airmata darah sekalipun, yang pergi tidak akan kembali.

Sayangilah anak anak kita, mereka adalah satu satunya harta yang diamanahkan oleh ALLAH SWT kepada kita. Bayangkan mereka mereka yang telah lama berkahwin tetapi masih belum di kurniakan cahaya mata, siang dan malam berdoa kepada ALLAH SWT agar dikurniakan cahayamata.

Anak anak kita perlukan perhatian kasih sayang yang berpanjangan. Lindungilah mereka.

Adik Dirang,

Damailah Adik disana, kami akan terus mendoakan Adik dan rakan rakan Adik yang senasib, senantiasa didekatkan dengan ALLAH SWT, diletakkan bersama sama orang orang yang soleh solehih, dilapangkan pusara, gembiralah Adik di sana, Abang pasti ramainya malaikat yang sayang pada Adik, yang akan menjaga Adik sebaiknya.

Adik tolong sampaikan salam sayang Abang pada adik adik yang lain ya. Katakan pada mereka, kami semua disini merindui mereka.

Semoga ALLAH merahmati Allahyarham Nurul Nadirah Abdullah atau Adik Dirang dan adik adik semua.

AL-FATIHAH

Bahu saya terasa di sentuh “Abang kita doakan mereka semua aman dan damai di sana ya, Ayang janji akan menjaga anak anak kita sehingga mereka menjadi Umat yang di cintai ALLAH SWT dan di sayangi Nabi SAW ” .. jemari yang halus itu menyekat airmata saya dari terus mengalir.

Ya ALLAH SWT, sesungguhnya aku amat amat berterima kasih dan terlalu bersyukur kerana Engkau mengurniakan aku dengan Zaujah yang penyayang, menghormati dan bertanggungjawab. Amin

“Punca kejadian adalah kerana tidak ada takwa kepada ALLAH SWT, ia adalah jentera untuk menyekat keganasan nafsu, benda begini bukan sekarang sahaja berlaku malah zaman Jahiliah lagi, tetapi jika ingat kita ingat azab kubur, ia tidak berlaku ,” : Tok Guru Nik Aziz :